Monday, February 2, 2009

::. BOIKOT KFC MALAYSIA..PERLU ATAU TIDAK.::

Saya menerima email dari seorang sahabat dan kita sama-sama mengkaji samada benar atau tidak....

Kebenaran
Tanpa Penghujung

Oleh Muhammad Azli Shukri

"Manusia menjadi musuh dengan apa-apa yang tidak diketahuinya. " -
ini adalah pepatah orang-orang Arab. Bukan hadis nabi. Namun
demikian, kata-kata ini banyak kebenarannya. Saya sedikit agak
kecewa, bahkan mungkin merungut sedikit. Saya memohon maaf jika
tulisan saya kali ini agak pedas dan keras (syadid) sikit daripada
biasa. Hal ini adalah kerana saya sememangnya tidak gemar apabila
seseorang begitu mudah memberi hukum tanpa usul periksa. Isu
memboikot barang-barang tertentu yang jelas bersekongkol dengan
Israel , saya tegaskan bahawa saya sangat bersetuju dilaksanakan,
tetapi lakukan boikot tersebut dengan bijaksana dan berhikmah. Bukan
dengan membuta-tuli atau berlandaskan kejahilan serta kebodohan yang
kita miliki.

Umat Islam menjadi lemah adalah disebabkan sifat ingin tahu mereka
terlalu rendah. Malah, untuk mencari ilmu pengetahuan pun kita
begitu malas. Umat Islam, khususnya di Malaysia - lebih gemar
mendengar khabar angin daripada menyelidik untuk mencari kebenaran.
Lantaran itu, apabila kejahilan yang kita ikuti pasti akan
mendekatkan diri kita ke gaung kehancuran. Isu memboikot restoran
makanan segera KFC telah dilancarkan secara besar-besaran dalam
kalangan bloggers, saya tidak tahu sama ada ia berlaku secara
terancang, mahu pun terjadi atas dasar kejahilan kita sendiri. Namun
demikian, hal ini sedikit sebanyak mengundang rasa kecewa dalam
kalangan pengurus-pengurus kanan KFC Holdings Berhad - dan sudah
tentu juga bagi Pihak Tan Sri Muhammad Ali Hashim, CEO JCorp yang
menguasai syarikat Kulim Berhad, dan pada masa yang sama, Kulim
Berhad merupakan pemegang saham terbesar dalam KFC Holdings Berhad.

Nampaknya, kejahilan dan kebodohan kita selama ini, telah
menyebabkan kita tidak mahu menyelidik dan mencari kebenaran, malah
lebih gemar mendengar khabar angin daripada realiti. Tidak ramai
yang tahu betapa susah dan gigihnya kumpulan Tan Sri Muhammaa Ali
Hashim bertungkus-lumus untuk beberapa tahun, semata-mata mahu
menguasai KFC Holdings daripada tangan orang lain. Keluar masuk
mahkamah dan pelbagai lagi cabaran, demi memastikan KFC Holdings
menjadi milik orang Islam. Namun demikian, apabila kita malas untuk
mencari kebenaran, maka yang kita peroleh adalah kejahilan. Dan
apabila kejahilan yang kita sebarkan ia bukan sekadar membuka pintu
fitnah, bahkan menunjukkan mentaliti umat Islam yang lebih mudah
dipengaruhi oleh khabar angin daripada menyelidik terlebih dahulu
sesuatu maklumat yang diterima.

Sejak akhir-akhir ini tersebar luas kempen untuk memboikot KFC di
seluruh Malaysia , tidak kurang juga risalah yang bertaburan di
masjid-masjid menyeru umat Islam Malaysia agar memboikot KFC
Malaysia. Yang lebih malang , kempen boikot KFC yang penuh dengan
fitnah ini datangnya daripada mulut mereka yang tahu hukum hakam
agama bahkah bergelar Imam dan Ustaz. Padahalnya, mereka sendiri
tanpa sedar menyokong rejim Ziones dengan menghisap rokok di kaki
tangga masjid. Bukankah lebih molek dan baik jika lakukan kempen
membiokot rokok? tidakkah kita tahu rokok itu haram hukumnya?
membawa banyak fasad (kerosakan) ke atas tubuh badan manusia? Dan
pelik apabila ada manusia yang menyuruh memboikot makanan yang halal
tetapi berdiam diri tentang rokok? Mengapa sampai begitu jahilnya
kita ini? Jika kita rasa bahawa kita tidak tahu, sama ada KFC
Malaysia terlibat dalam menyalurkan royalti (bayaran cukai) kepada
KFC Amerika Syarikat yang menyokong Israel, lebih baik kita diam.
Jangan membawa fitnah ke sana ke mari, semata-mata kerana kita
sendiri tidak berapa pasti maklumat tersebut dan hanya mendengar
khabar angin.

Saya sempat menghubungi pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali
Hashim sebentar tadi- ternyata mereka sangat kecewa dengan kempen
kotor lagi tidak bermaruah ini. Jelas, masyarakat kita kurang
mengambil berat terhadap kesahihah sumber maklumat dan kurang amanah
dalam ilmu pengetahuan. Perlu dijelaskan, bahawa KFC Malaysia hanya
menggunakan jenama (brand) KFC semata-mata dan tidak membayar apa-
apa cukai atau sebarang keuntungan kepada KFC induk di Amerika
Syarikat. Cuma membayar yuran penggunaan jenama. KFC Malaysia adalah
hak milik kita. Ia halal di makan tidak seperti rokok.

Menurut Pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim, ini semua
adalah fitnah dan boleh menjejaskan pendapatan para pekerja di
restoran-restoran KFC di seluruh Malaysia yang berjumlah 19 000
orang itu. Malah, rata-rata pekerjanya terdiri daripada orang Melayu-
Islam. Jika para pemboikot itu sanggup menyediakan pekerjaan baharu
kepada mereka, itu tiada masalah, silalah boikot. Tetapi malangnya,
yang kita tahu hanya memboikot, apabila disuruh untuk menderma ke
dalam tabung bantuan rakyat Palestin kita hanya sanggup masukkan RM
5 saja ke dalam peti derma di tepi pintu masjid. Sekarang, mari kita
bertanya di manakah kita letakkan keutamaan jihad kita? memboikot
sebuah produk yang terbukti salah untuk diboikot atau menggandakan
jumlah derma kita kepada rakyat Palestin? Tepuk dada, tanya iman dan
bukan tanya kepada Aiman.

Saya tegaskan sekali lagi, tiada salah untuk memboikot - tetapi biar
secara bijaksana, berhikmah dan berilmu. Pilih betul-betul produk
yang jelas menyalurkan bantuan kepada Rejim Ziones tersebut, jangan
main sedap boikot saja. Umat Islam mundur kerana kita ketepikan soal
(bijaksana) sebab kita jarang baca al-Quran. Lantaran itu kita mudah
diperkotak-katik oleh bangsa lain. Adalah lebih baik pada pandangan
saya kita boikot semua jenama rokok. Jelas ia memudaratkan
kesihatan, malah jenama syarikat-syarikat besar rokok antarabangsa
belum tentu selamat daripada dikaitkan dengan negara Israel .

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sesiapa sahaja, pergilah
menjamu selera di restoran-restoran KFC, jangan ragu dan jangan
gusar. Ia bukan sahaja halal, malah KFC Malaysia adalah milik orang
Islam dan tidak terlibat dalam menyumbang wang atau royalti kepada
negara Israel . Malah, ramai yang tidak tahu berapa juta ringgit
yang telah didermakan oleh JCorp hasil keuntungan KFC kepada tabung
rakyat Palestin. Semua ini memerlukan kita berhati-hati sebelum
memboikot.

4 comments:

Anonymous said...

ana cdg anta buang artikel ini..dia cakap org Islam tak kaji...anta buat kesilapan yang sama..dgn meletak artikel ini dgn tidak mengkaji

petikkan dari artikel

"Perlu dijelaskan, bahawa KFC Malaysia hanya
menggunakan jenama (brand) KFC semata-mata dan tidak membayar apa-
apa cukai atau sebarang keuntungan kepada KFC induk di Amerika
Syarikat. Cuma membayar yuran penggunaan jenama. KFC Malaysia adalah
hak milik kita. Ia halal di makan tidak seperti rokok."

apakah org akan memberi nama mereka secara percuma.mesti ada bayaran kenapa dia tak nak bg tahu sekirannya dia sudah buat kajian,sekirannya guna nama kenapa tak nak guna nama lain...nabi tidak suka kita kita ikut mereka itu..yahudi
sudahkan anta membaca tulisan-tulisannya...jgn kita ambil shj,,,kerana tulisan nya yang mantap...dia kata org Islam tak buat kajian...so tak kan kita nak terima artikel tanpa buat kajian..w'alam....boikot2....boikot2...baik goreng ayam sendiri...
muaz-xuitm

Humairah said...

hehehe,, tengoklah pula siapa penulis artikel ini. (utk mengesahkan riwayat ini blh dipercayai atau tidak)

http://azlishukri.blogspot.com/

keliru dan mengelirukan..

like the quote.. andai benarlah apa yg dikata.. still bayar kan? dan peratusan bayaran tu pastinya tinggi dan menguntungkan sehingga mereka membenarkan penggunaan jenama tersebut.

tambahan pula, KFC Malaysia mengekalkan "secret recipe" dari KFC asal, dan ini, by simple deduction, KFC Malaysia masih lg francais kpd main KFC.

wallahu a3lam.. saje komen sambil2 merayau di alam maya..

azlishukri said...

Nampaknya kedua2 komen tersebut tak baca betul2 berkenaan artikel saya. malah tidak pula mendalami fiqh keutamaan. mengapa saudara2 yang memberi komen itu tidak sahaja boikot seluruh produk AS? jenama DeLL, Microsof, firefox dan semua jenama AS turut digunakan jenamanya di Malaysia? dan setiap syarikat tersebut turut membayar yuran jenama (kerana meminjam brand) tersebut. ini jenama google kenapa kita layari juga? bukan itu turut menyumbang sokongan kepada AS ke? inilah yang saya maksudkan kejahilan tanpa mahu menerima kebenaran. Sekarang yang dihentam hanya KFC, jomlah kita boikot semua jenama AS, sebab semua jenama AS membayar cukai kepada kerajaannya. dan kerajaannya menyokong Israel.

fikirkanlah tuan2

Anonymous said...

xpalah la nak makan kfc yang tak berkat ni, banyak lagi kedai melayu yang boleh kita pergi. kfc ni memang bagi modal kat israel melalui yuran penggunaan nama (setiap bulan atau tahun). kita kena elak selagi kita boleh. ada banyak lagi peluang perniagaan kenapa mereka pilih kfc?