Saturday, January 10, 2009

::. SUARA KAMPUS MELEDAKKAN PERUBAHAN .::

Mahasiswa berbaring menunjukkan rasa protest..Mansuh AUKU
petikan dari bog Ust Riduan

Dunia ini adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah!, ujar seorang tokoh mahasiswa aliran kiri pada tahun 1960-an, Ya , ungkapan ini ada kebenarannya yang tersendiri apabila kita menyemak lipatan sejarah mengenai episod perubahan politik dan sosial yang berlaku di seluruh dunia sejak zaman berzaman. Rasullulah SAW dibangkitkan dengan anak-anak muda yang berani menentang arus jahilliah serta sanggup berdada dan menyingsing lengan dengan penguasa yang zalim. Madrasah Nabi SAW telah melahirkan ramai pemuda-pemuda dakwah seperti Mus’ab Bin Umair. Talhah bin Ubaidullah, Zubir al Awwam, Saidina Abu Bakar, Uthman Bin Affan, Arqam bin Abi Arqam, mereka adalah anak-anak muda yang terasuh dengan semangat yang kental oleh baginda Nabi SAW.

Sejarah dunia ini dilakarkan warnanya oleh anak-anak muda kerana mereka mempunyai kekuatan semangat, cita-cita , keazaman, idealisme untuk merubah dan menjadi agen perubahan.Di zaman imperialisme Barat, anak-anak muda bangkit menentang penjajah di seluruh belahan dunia , Jose Rizal yang mengungkapkan idealismenya lewat karyanya ‘Noli Me Tangere’ (1887) dan ‘El Filibusterismo’(1891) merupakan ikon perjuangan menentang penjajah di Filipina sehingga membawa kepada pembunuhan beliau secara tragis.Seterusnya ‘huk balahap’ dan gerakan katipunan terus mengempur penjajah malah gerakan mahasiswa di Filipina terus bernyawa di zaman Marcos sehingga regim Marcos berantakan lewat demonstrasi anak-anak kampus di jalan raya –jalanraya di Manila.

Sheikh Muhamad Abduh mengembangkan idea-idea Pan Islamisme dengan dilatari oleh Universiti Al Azhar sehingga beliau dipecat daripada universiti Islam paling berprestij itu akibat kekuatan idea pan Islamisme yang mengancam hegemoni Barat yang sedang menguasai Mesir Barat. Hassan Al Banna (1906-1949) juga adalah merupakan anak muda ketika menubuhkan Ikhwanul Muslimin di Ismailiah, Mesir pada tahun 1928 sehingga gerakan ini sangat fenomenal pada abad ke 20. Almarhum yang merupakan lulusan Darul Ulum telah memindahkan markas operasi Ikhwanul Muslimin ke Kaherah pada tahun1933 kerana mempertimbangkan penyebaran pengaruh Ikhwanul Muslimin kepada pelajar-pelajar Universiti Al Azhar yang datang dari segenap penjuru dan belahan dunia. Ternyata eksperimen ini berjaya apabila pelajar-pelajar yang mendapat fikrah Ikhwan telah menyebarkan idea-idea perjuangan Ikhwan ke negara asal masing-masing.

Di negara China pula, tokoh tokoh kampus seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao, Chen Tu Shiu adalah penggerak kepada Peristiwa 4 Mei 1919 yang akhirnya telah berjaya meledakkan kebangkitan Komunisme sehingga tertegaknya Republik Rakyat Komunis pada tahun 1949 di China. Sejarah juga telah mencatatkan Revolusi Bolshevik 1917 di Russia telah digerakkan oleh anak-anak muda kampus yang telah diindoktrinkan dengan fahaman komunisme, Tzar Nicholas akhirnya menggelongsor daripada sangkar merak kayangannya.

Di Indonesia pula, anak-anak kampus telah melatari perjuangan menentang imperialis Belanda samada yang berpendidikan Islam ataupun sekular. Raden Anjeng Kartini dengan gerakan sosialnya sangat muda ketika meninggal dunia, Omar Said Chokroaminoto pula anak muda intelektual yang mengasaskan Sarekat Islam yang dianggotai oleh ribuan anak-anank muda, sebuah gerakan tersohor di negara kepulauan iti pada awal abad 20 sehinggalah diresapi oleh unsur komunis (Sarekat Islam Merah) yang membaham struktur parti Islam itu dengan tindakan keras daripada penjajah Belanda. Soekarno adalah pemimpin mahasiswa dinamis yang dikeluarjkan dari Kolej Teknologi Bandung, pidatonya yang memukau telah membangkitkan semangat anak-anak muda untuk berjuang dan berkorban di bawah panji ‘sang saka Merah putih’. Seterusnya memimpin perang Revolusi 1945 sehingga membawa kepada kemerdekaan Indonesia.Juga tidak lupa peranan angkatan muda dalam Majlis Syura Muslimin (MASHYUMI) yang meniupkan semangat jihad kepada anak-anak muda untuk menentang penjajah dan menegakkan syariat Islam di Indonesia.

Sejarah Indonesia terus dipahat dengan citra anak muda yang rusuh dan berani menyanggah, pada tahun 1965 ketika Soekarno digulingkan oleh Jeneral Suharto maka anak muda kampus menggerakkan kesedaran politik rakyat sehinggalah kebobrokan pemerintahan regim Suharto maka sekali lagi anak-anak kampus daripada jalur ideologi yang pelbagai telah merentap kekuasaan Suharto pada era reformasi 1998 (kumpulan daripada aliran sosialis seperti FORKOT dan KAMMI daripada aliran dakwah).Sehingga kini kampus–kampus Universiti di Indonesia terus memunculkan kesedaran kepada rakyat tentang hak-hak mereka, bersama dengan denyut nadi rakyat dalam pelbagai isu..
Badan Dakwah Kampus (BDK) sangat dominan di kampus malah menjadi agen penyemai kesedaran beragama bahkan sebagai sebagai katalis ideology transnasional di bumi seribu bencana itu.

Di Burma pula kampus telah menjadi medan utama sebagai markas menentang penjajahan British, beberapa orang anak muda intelegensia yang mempunyai kesedaran politik telah menubuhkan Persatuan Pemuda Buddha (YMBA) pada tahun 1906. Gerakan pemuda ini sangat ditakuti oleh penjajah British lantas mengharamkan keanggotaannya kepada orang awam namun idealisme dan daya juang anak-anak muda kampus ini sangat tinggi dan mencabar British dengan mengadakan mogok dan boikot yang akhirnya turut disertai oleh orang awam.

Di Thailand, negara gajah putih ini juga tidak lekang daripada pengaruh gerakan politik pelajar semenjak awal abad 20 sehingga pada tahun 1932 telah berjaya melakukan Revolusi Thai yang telah mengakhiri imuniti raja. Istana terpaksa tunduk kepada desakan anak-anak muda yang mahukan raja berpelembagaan. Kebangkitan anak-anak muda yang mendapat pendidikan dari luar negara yang membuka dimensi berfikir yang lebih luas tentang konsep negara bangsa, nasionalisme, sosialisme, hak asasi manusia, liberalisme, kapitalisme dan sebagainya, akhirnya 24 Jun 1932, revolusi Thai telah menggelegak tanpa pertumpahan darah dan anak-anak muda yang mengelarkan mereka sebagai ‘partai rakyat’ menjadi kerajaan sementara untuk meletakkan Thailand sebagai ‘negara baru’ yang dimodelkan dengan konsep raja berpelembagaan ala Barat.

Arus kesedaran untuk membaiki diri bangsa yang terpuruk dan membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan pada awal abad ke 20 telah digerakkan oleh anak-anak kampus Al Azhar seperti Syed Sheikh Al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abbas Kalali sehingga kelompok mereka sangat dicurigai. Melalui pembinaan madrasah-madrasah moden ala Mesir dan penulisan, kelompok ini telah menebarkan kepedulian sosial politik masyarakat Melayu untuk merdeka.Bapa kemerdekaan Tanah Melayu, Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi pula semenjak belajar di Universiti Aligarh di India adalah anak muda yang sarat dengan idealisme akibat pergaulannya yang luas dengan tokoh-tokoh nasionalis di India daripada Liga Muslim India. Kepulangan beliau ke tanah air telah melonjakkan momentum perjuangan kemerdekaan. Menerusi akhbar ‘Taman Bahagia’ beliau telah melontarkan kritikan bernas terhadap Inggeris sehingga dipenjarakan pada tahun 1937.

Di bumi Afghanistan, bumi jihad yang berlatarbelakangkan bukit-bukit kontang, menyaksikan kebangkitan mahasiswa menentang penjajahan Russia pada tahun 1979. Gulbuddin Hekmatiyar seorang pemimpin kampus Universiti Kabul telah menyeru perang jihad kepada teman-teman kampus yang lain sehingga sepuluh tahun berikutnya, ‘beruang merah’ Russia angkat kaki dari bumi jihad itu pada tahun 1989.

Di Algeria, bumi yang merdeka daripada Perancis pada tahun 1962 telah menyaksikan bersimbah darah sejuta syuhada juga menyaksikan keberanian anak-anak muda kampus berselut Lumpur menentang kezaliman. Dalam dekad-dekad kebangkitan Islam pula, kampus-kampus telah menjadi medan latihan berpolitik dan pusat kebangkitan Islam sehingga memunculkan Front Islamic Salvation (FIS) pada penghujung dekad 1980an, di antara lain bekas pimpinan mahasiswa seperti IR Abdul Kader Hachani, Ustaz Ali Benhaj.

No comments: