Thursday, February 26, 2009

Pandangan Muraqib al-Am Ikhwan Muslimin Jordan

Pandangan Muraqib al-Am Ikhwan Muslimin Jordan
“Parti Islam SeMalaysia (PAS) mesti miliki kekuatan tersendiri.” Syeikh Dr.Hammam Said

Dalam kunjungan ke Jordan baru-baru ini wakil Harakah, Imran al-Malizi sempat menziarahi Syeikh Dr.Hammam Said di ibu pejabat pergerakan al-Ikhwan al-Muslimin di ibu negara Amman. Ikuti temuramah yang dapat dirakamkan dalam pertemuan tersebut pada hari Sabtu, 7hb Feb 2009 iaitu sehari selepas kejatuhan kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan.

Harakah: Asssalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Syeikh Dr. Hammam Said: Wa’alaikumus-Salam wa rahmatullahi wa barakatuh.

Sebelum ini tuan lebih dikenali dalam lapangan bidang akademik khususnya dalam bidang ilmu-ilmu hadis. Bolehkah tuan ceritakan serba sedikit mengenai perjalanan semasa menuntut ilmu?
Segala pujian bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Saiyidina Muhammad, keluarga dan para sahabat baginda sekalian. Perjalanan hidup saya dalam menuntut ilmu bermula di rumah, di mana ayah saya merupakan salah seorang ulama hadis. Saya terdedah dengan perpustakaan yang secara khususnya mengandungi kitab-kitab hadis semasa usia yang sangat muda. Lebih kurang usia 10 tahun, saya sudah membaca kitab-kitab besar yang berkaitan dengan ilmu hadis, kesusasteraan, bahasa Arab seperti karangan al-Mutanabbi dan lain-lain. Begitu juga buku-buku yang berkaitan dengan biodata para perawi hadis, juga karangan Ibnu Hajar dan lain-lain. Perkembangan awal ini semua membantu pengajian saya di peringkat universiti. Saya menamatkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti Damsyiq pada tahun 1965. Sudah diketahui umum, pengajian syariah di universiti tersebut sangat sukar, yang lulus hanya sekitar 5-6 orang sahaja. Malah kadang kala hanya 3 orang. Antara guru-guru yang mendidik saya ialah Syeikh Mustafa Siba’ie, Dr. Mustafa Zarqa dan ramai lagi ulama yang besar. Kemudian setelah bekerja hampir 5 tahun, saya ke Universiti al-Azhar dan mempelajari ilmu hadis dalam kuliah Usuluddin. Saya berjaya menamatkan pengajian di peringkat M.A dan Phd dengan pangkat pertama. Dengan kurnia dari Allah, tesis yang saya hasilkan sangat jarang dilakukan iaitu mengenai
illal hadis merupakan yang pertama pernah ditulis seumpamanya. Tesis tersebut berbeza dengan yang lain. Kemudian hasil kajian saya itu tersebar dan menjadi subjek yang diajarkan di universiti-universi ti, bermula dengan Universiti Jordan di fakulti syariah. Kajian saya itu dianggap sebagai syarah kepada kitab al-‘Ilal karangan Imam al-Tirmizi. Ianya kemudian diajarkan dalam dunia Islam di peringkat pengajian tinggi. Alhamdulillah. Saya juga aktif dalam bidang keilmuan dan selama 25 tahun, saya telah menulis dalam pelbagai displin ilmu. Di antara ialah himpunan hadis-hadis berkenaan fitnah akhir zaman, hukum-hakam kewangan, kesempurnaan Nabi, jihad dan lain-lain. Semua ini sedang dalam proses untuk cetakan. InsyaAllah.

Di manakah tuan menyumbangkan khidmat setelah tamat pengajian?
Saya mengajar di Universiti Jordan hingga tahun 1988 sebelum dipilih menjadi ahli (parlimen) Majlis Perwakilan Jordan pada 1989. Saya dipilih semula menjadi ahli perwakilan pada tahun 1993 dan kekal hingga tahun 1997. Kemudian saya dilantik menjadi penasihat syar’ie bagi Hospital Islam di Jordan. Kemudian saya mengajar di universiti swasta Al-Zarqa selama setahun. Setelah itu, saya dilantik menjadi Muraqib al-‘Am dalam jemaah al-Ikhwan al-Muslimin.

Bilakah tuan menyertai gerakan al-Ikhwan al-Muslimin dan bagaimana tuan memandang tanggungjawab sebagai Muraqib al-‘Am (Jordan) ketika ini?

Saya menyertai jamaah al-Ikhwan al-Muslimin pada waktu yang sangat awal iaitu ketika berumur 12 tahun. Alhamdulillah, saya masih ingat sejarah itu dan kini saya masih berada dalam jemaah ini. Tugas saya sekarang ini sebagai Muraqim al-‘Am sangat berat dan bukanlah tugas yang mudah. Tanggungjawab ini sangat besar kerana ia berkaitan dengan maslahah beratus-ratus ribu para pemuda Islam untuk membawa mereka menuju ke satu matlamat pada masa yang mendatang. Memperbaiki jamaah ini agar dapat berperanan dalam masyarakat. Memimpin jamaah ini untuk memastikan ianya dapat mencapai matlamat-matlamat Islam. Semoga Allah memudahkan segala urusan ini.

Dalam majalah al-Mujtama’ (3-9 Zulkaedah 1429H) tuan pernah menyeru kaum muslimin kepada sistem ekonomi antarabangsa yang baru dengan bersumberkan rujukan Islam. Mengapakah dunia Islam terlalu bergantung pada sistem kapitalisme, seolah-olah sukar sekali untuk keluar daripadanya?
Sistem kapitalisme telah gagal di negara-negara mereka (Barat). Mereka menghadapi kehabisan sumber dengan satu ledakan yang besar. Ledakan ini diibaratkan ia telah meninggalkan satu ruang kosong. Manusia menyangka kegiatannya masih berjalan. Ekonomi yang hanya memaparkan jumlah angka, apabila mereka cuba mendapatkan kepastian mengenai jumlahnya, lalu mereka mendapati tiada jumlah apa pun. Semua ini hanya mempersendakan orang ramai dan permainan yang menipu. Tiada aktiviti ekonomi yang berlaku pada hakikatnya. Kerana ia hanyalah ibarat jaminan yang dibuat tanpa akad yang sah.
Begitulah sistem kapitalisme, ia tidak berdiri di atas perkara yang jelas secara hakiki. Ia hanya dibina atas dasar kepercayaan di antara mereka yang terlibat. Kini sudah jelas dasar kepercayaan ini sebenarnya adalah satu pembohongan. Tiada jumlah dalam simpanan secara realiti. Dalam beberapa bulan, berlaku kejatuhan ekonomi dengan kerugian berbilion-bilion dolar di Amerika.. begitu juga di Britain dan Eropah. Sistem ini telah gagal dan tiada siapa yang mampu untuk mempertahankannya.
Beberapa hari lalu, saya telah mendengar daripada Pengarah Bank Islam Jordan, bahawa negara Britain yang dulunya meletakkan syarat-syarat yang ketat untuk membuka bank-bank Islam di negara itu, kini telah mempelawa perbankan Islam agar datang ke Britain untuk membuka cawangan-cawanganny a dan dipermudahkan untuk beroperasi. Ini menunjukkan bahawa ekonomi Islam di negara mereka mempunyai kedudukan yang dihormati. Kita mahu meluaskan ekonomi Islam, tiada riba, tiada penipuan berbentuk spekulasi, tiada monopoli (ihtikar) dan tiada perniagaan atas kertas tanpa kewujudan nilai wang yang jelas. Iaitu ekonomi dengan dokumen yang jelas dan berpijak di bumi yang nyata. Kita perlu memperkemaskan sistem ekonomi Islam di negara kita dan jadikan ia pelindung ekonomi di negara kita. Kemudian menyebarkannya ke peringkat antarabangsa.

Apa pendapat tuan, jika sesetengah pihak menganggap mustahil dunia Islam dapat keluar dari sistem kapitalisme?
Yang menjadi perkara mustahil di sini ialah mustahil sistem ini dapat bertahan di negara-negara barat. Mesti ada alternatif lain sebagai pengganti. Sistem sosialis telah gagal dan sistem kapitalis juga gagal. Yang tinggal hanya sistem Islam.

Tuan tentu mengetahui kejayaan parti-parti pembangkang yang diketuai oleh PAS dalam pilihanraya tahun lalu (2008). Tuan juga pernah menghadiri Muktamar PAS di negeri Perak pada tahun lepas. Adakah tuan tahu bahawa baru-baru ini (Jumaat, 6 Feb 2009) kerajaan negeri Perak telah dijatuhkan dengan pengkhianatan 3 orang Adun yang tidak berpegang dengan prinsip Islam. Apa komen tuan berhubung perkara ini?
Perkara paling penting, Parti Islam (PAS) mesti memiliki kekuatan dalam menentukan perjalanan(nya) dan kekuatan di kalangan anggota masyarakat. Sekiranya kekuatan ini teguh, inilah yang dapat menjamin satu kerajaan yang kuat. Tetapi pada hakikatnya, kadang-kala bergabung dengan parti-parti lain... kita tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku sekiranya terjadi pertembungan pada kepentingannya atau kaedah ancaman digunakan. Ketika itu bertukarlah haluannya dan kita telah membina hubungan di atas asas yang tidak kukuh. Kita sepatutnya membina kekuatan yang kukuh dan meletakkan pergantungan yang tinggi dalam saf kita, di kalangan para pemuda kita dan (PAS) mesti memiliki kekuatan kita sendiri. Betulkah kerajaan Perak sudah dijatuhkan? Tiada daya upaya kita melainkan dengan izin Allah… (sambil menggelengkan kepala).

Secara peribadi, tuan sudah mengenali Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang sekian lama, apa pandangan tuan pada peribadi, kepimpinan dan kesungguhan usaha beliau dalam lapangan dakwah Islam di negaranya dan di peringkat antarabangsa?
Saya mengenali Syeikh (Tuan Guru) Haji Abdul Hadi bin Awang, sudah melebihi 20 tahun. Ke mana sahaja saya pergi dalam dunia Islam ini pasti saya akan mendapati beliau berada bersama di hadapan saya. Beliau adalah seorang yang memiliki kesungguhan sekian lama dalam dakwah (menyeru manusia) kembali kepada agama Allah dan aktif dalam menjalankan kerja-kerja Islam. Beliau bukanlah seorang tokoh hanya di peringkat negara Malaysia, bahkan ketokohan beliau berada pada peringkat dunia Islam. Saya mengucapkan tahniah kepada negara Malaysia kerana peribadi beliau dan kepimpinannya. InsyaAllah, saya dapat melihat padanya terdapat sifat ikhlas, benar, tsabat (tetap pendirian) dan istiqamah. Semoga Allah sentiasa membantu beliau dan menambahkan keberkatan pada usahanya. Amin.

Tuan pernah menyebut bahawa PAS perlu menguatkan tarbiah terhadap ahli-ahlinya, memperbanyakkan kegiatan dakwah Islam dan tidak hanya dalam urusan politik.. boleh tuan jelaskan mengapa tarbiah ini sangat penting?
Tidak syak lagi, bahawa tarbiah adalah satu juzuk asas dalam pembentukan jemaah. Parti Islam SeMalaysia mengambil peranan yang banyak dalam bidang politik dan mungkin aspek tarbiah berkurang.
Kita mahu mengambil ruang yang lebih besar dalam aspek tarbiah dan mengambil berat terhadapnya. Jemaah al-Ikhwan al-Muslimun juga mempunyai manhaj tarbiah yang terperinci di semua negara-negara. Inilah yang menjaga jemaah dan menjadikannya kuat. Untuk itu, Parti Islam juga perlu memiliki program tarbiah yang terperinci untuk ahli-ahli dan para pengikutnya.

Apa pandangan tuan tentang masa depan PAS di bawah pimpinan ulama? Apakah kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya kepimpinan parti Islam ini tidak lagi dipimpin oleh para ulama sebaliknya oleh golongan intelektual dalam parti tersebut?
Kewujudan para ulama pada peringkat tertinggi adalah jaminan paling besar bagi parti ini. Kerana hubungan umat dengan para ulama adalah satu hubungan yang kuat. Apabila terdapat ulama di situ, maka kepimpinan tersebut berjalan di atas dasar al-Kitab (al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ini menjadikan orang ramai berasa tenteram dan selesa dengan kepimpinan tersebut. Jika kepimpinan itu hanya semata-mata bersifat politik, pragmatisme dan urusan politiknya datang dari luar (rujukan) Islam, luar dari al-Kitab dan as-Sunnah… akhirnya orang ramai tidak lagi bersatu di bawah kepimpinan sebegitu. Namun, kepimpinan yang ada ini jika berterusan seperti yang dituntut, akan bertambah kekuatannya dengan izin Allah. Masa depan akan menjadi baik. Saya menjangkakan suatu hari nanti, parti ini akan mendapat majoriti kuasa. InsyaAllah.

Akhir sekali, apa nasihat tuan untuk rakyat Malaysia?
Rakyat Malaysia menganggap Islam itu sebagai satu agama dan anutan yang bersifat nasional (dalam negara). Ini tidak terdapat di negara selain Malaysia. Ini adalah satu peluang untuk menyebarkan agama Islam. Juga saya nasihatkan agar diadakan pembelajaran bahasa Arab dan memperkemaskan kemahiran dalam bahasa Arab. Saya mendapati ada penggunaan bahasa Arab di Malaysia. Namun, saya mahu bahasa Arab menjadi bahasa utama di Malaysia. Ini boleh berlaku dengan usaha orang-orang yang berkebolehan, terpilih dan (sedia) berjihad dengan kurniaan Allah. Kamu berikan keutamaan kepada bahasa Arab dan laksanakan syariat Islam dan hukum hakam Islam dalam segala lapangan kehidupan. Kerana agama kita inilah yang menjaga kehidupan kita di dunia dan akhirat. Semoga Allah memberikan taufik kepada kamu semua. Amin.

sumber : (Harakah-Fikrah, Edisi Isnin 23-26 Feb 2009, m/s F14)

No comments: